Cerpen
“Suri Hati Swamiji” (Sebelas Amanat
Swamiji, 2025) merupakan sebuah
karya yang berani kerana pengarang tidak sekadar mengemukakan kisah tentang
seorang tokoh agama yang disanjung pengikut, malah turut berani membongkar sisi
gelap sebuah kultus yang menggunakan agama sebagai alat untuk menguasai
manusia.
Melalui
watak Kanagavalli dan Swamiji, pengarang memperlihatkan bagaimana kepercayaan,
ketakutan, kesunyian, dan keinginan mencari makna kehidupan boleh dimanipulasi
oleh individu yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan Tuhan.
Keberanian
utama pengarang terserlah melalui penciptaan watak Swamiji. Pada peringkat
awal, Swamiji hadir sebagai seorang guru agama yang karismatik, petah berbicara,
dan kononnya mempunyai pengetahuan mendalam tentang dharma, karma,
veda, sutra, dan purana.
Dia
memperkenalkan pelbagai konsep seperti rajayoga, karmayoga, bhaktiyoga,
dan jnanayoga, malah menghuraikan lapan cabang yoga berdasarkan Yoga
Sutra oleh Patanjali. Pendekatan ini menjadikan Swamiji kelihatan berilmu
dan meyakinkan.
Namun,
pengarang secara beransur-ansur menunjukkan perubahan daripada ajaran
kerohanian kepada pemujaan terhadap individu. Swamiji akhirnya menuntut
pengikut supaya mematuhi setiap arahan tanpa soal. Pengakuannya bahawa dia
ialah “penghubung antara manusia dan Tuhan” merupakan titik penting dalam
pendedahan tersebut.
Di
sinilah agama tidak lagi berfungsi sebagai jalan pencarian kerohanian,
sebaliknya menjadi mekanisme kawalan terhadap pemikiran dan tingkah laku
pengikut.
Pengarang
turut berani memperlihatkan satu ciri penting kultus, iaitu pemusatan kuasa
kepada seorang pemimpin. Watak Swamiji bukan sahaja mahu dipercayai, malah mahu
dirinya dianggap sebagai satu-satunya perantara yang sah antara manusia dengan
Tuhan.
Apabila
seseorang pemimpin menganggap dirinya tidak boleh dipersoalkan, pengikut pula
dididik supaya melihat keraguan sebagai kesalahan, maka ruang untuk manipulasi
menjadi semakin luas.
Watak
Kanagavalli pula memperlihatkan bagaimana seseorang boleh terperangkap dalam
kultus ajaran sesat bukan kerana kebodohan semata-mata. Kanagavalli ialah
wanita muda yang kesunyian selepas ditinggalkan suami. Dia kehilangan sokongan
keluarga dan mencari tempat untuk mendapatkan makna serta ketenangan hidup.
Ashram Swamiji pada mulanya memberikan apa
yang dicarinya: Rasa diterima, tujuan hidup, dan komuniti. Inilah aspek
psikologi yang penting dalam cerpen “Suri Hati Swamiji”. Pengarang menyedarkan
pembaca bahawa golongan yang sedang berdepan krisis kehidupan amat mudah
terdedah kepada individu yang menawarkan jawapan mutlak dan penyelesaian
segera.
Pendedahan
paling berani ialah apabila pengarang mengaitkan manipulasi agama dengan eksploitasi
seksual terhadap wanita. Rancangan Raslila yang dikendalikan Swamiji
memperlihatkan bagaimana simbol dan istilah keagamaan boleh diputarbelitkan
untuk menghalalkan kehendak seorang pemimpin.
Wanita
yang dikatakan “suci dan murni” akhirnya berisiko dijadikan objek untuk
memenuhi kehendak seksual ketua kultus. Dengan cara ini, pengarang mengangkat
isu yang lebih besar: Apabila seseorang menyerahkan kuasa mutlak kepada
pemimpin agama, maka tubuh, maruah, dan kebebasan individu juga boleh dirampas.
Hal
ini menjadikan Kanagavalli bukan sekadar watak mangsa, tetapi simbol kesedaran
dan penentangan. Dia mula mempersoalkan perkara yang selama ini diterima secara
membuta tuli.
Dialognya
dengan Swamiji menjadi kemuncak keberanian tersebut: Kanagavalli menyatakan
bahawa dia tidak lagi mahu berdiam diri dan akan mendedahkan apa yang berlaku
kepada dunia luar. Swamiji pula cuba menggunakan strategi psikologi yang lazim
dalam hubungan kuasa yang tidak seimbang, iaitu menakut-nakutkan mangsa,
meramalkan bahawa tiada siapa akan mempercayainya, dan mengancamnya dengan
label sebagai pengkhianat.
Dialog
Swamiji iaitu “Dunia luar tidak akan percaya apa-apa yang awak katakan” amat
signifikan. Ancaman sedemikian menunjukkan bahawa pemimpin kultus memahami satu
kelemahan utama mangsa iaitu ketakutan untuk tidak dipercayai.
Mangsa
juga mungkin bimbang kehilangan keluarga, tempat tinggal, komuniti, dan
identiti yang selama ini diberikan oleh kumpulan tersebut. Maka, keberanian watak
Kanagavalli menjadi lebih bermakna kerana dia bukan sekadar menentang seorang
individu, sebaliknya keseluruhan sistem kepercayaan, agama, atau kultus yang telah
mengikat dirinya.
Pendedahan
cerpen ini juga mempunyai kaitan dengan realiti masyarakat. JAKIM dilaporkan merekodkan
sekurang-kurangnya 155 ajaran yang telah difatwakan sesat di Malaysia sejak
1950. Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kejahilan, taasub, dan
kepercayaan terhadap sumber ilmu yang tidak benar.
Pada Januari 2026 pula, JAKIM dilaporkan masih memantau 10 ajaran sesat yang aktif dan memberi amaran bahawa sesetengah kumpulan kini menggunakan bentuk seperti modul atau program motivasi untuk menarik pengikut.
Hal
ini menunjukkan bahawa persoalan yang diketengahkan dalam cerpen “Suri Hati
Swamiji” bukan semata-mata imaginasi, tetapi mempunyai relevansi sosial yang
nyata—walaupun hanya melibatkan umat Hindu dan Bukan Islam.
Mana-mana
umat Hindu yang merasakan dirinya terperangkap dalam kultus ajaran sesat seperti
yang digambarkan dalam cerpen ini tidak wajar bertindak secara terburu-buru
seorang diri.
Pertama,
mangsa perlu mengakui bahawa dirinya mungkin sedang dimanipulasi. Keraguan
terhadap pemimpin bukan semestinya tanda kelemahan iman atau pengkhianatan.
Kedua,
mangsa perlu mendapatkan maklumat daripada sumber agama yang berautoriti dan
tidak bergantung kepada tafsiran ketua kumpulan kultus semata-mata. Ketua yang
dimaksudkan mungkin juga memperlihatkan dirinya sebagai tokoh motivasi dan
pakar kaunseling atau pengamal ilmu spiritual.
Ketiga,
mangsa perlu menghubungi ahli keluarga atau individu yang dipercayai supaya
tidak terus terasing daripada dunia luar. Biaanya, kultus akan cuba
mengasingkan mangsa (pengikit) daripada keluarga dan rakan-rakan supaya lebih
mudah dimanipulasi dan dipergunakan—termasuk bagi tujuan seksual.
Keempat,
jika wujud unsur ugutan, penipuan kewangan, paksaan seksual, keganasan, atau
tahanan secara paksa, bukti yang selamat perlu disimpan dan laporan hendaklah
dibuat kepada pihak berkuasa yang sesuai.
Ternyata
cerpen “Suri Hati Swamiji” ialah sebuah cerpen tentang keberanian seorang
mangsa untuk berkata “Tidak” apabila agama disalahgunakan sebagai alat
penguasaan.
Kekuatan
karya ini terletak pada pendedahan terhadap proses manipulasi di mana seseorang
tidak semestinya terus menjadi mangsa. Sebaliknya, dia mungkin bermula sebagai
pencari ketenangan, kemudian menjadi pengikut, seterusnya kehilangan kemampuan
untuk mempersoalkan pemimpin.
Watak Kanagavalli
memutuskan rantai tersebut apabila dia mula berfikir secara kritikal. Dengan
demikian, keberanian sebenar Kanagavalli bukan hanya keberanian untuk
mendedahkan kultus pimpinan Swamiji. Lebih penting, dia berani mempertikaikan
sesuatu yang selama ini dipercayainya sebagai “agama sebenar”.
Dalam
konteks masyarakat India-Hindu di Malaysia, itulah mesej paling penting dalam cerpen
ini: Agama tidak sepatutnya menjadi lesen untuk merampas kebebasan, maruah,
harta, atau tubuh manusia. Apabila seseorang seperti watak Swamiji mendakwa
dirinya adalah satu-satunya utusan dan jalan menuju Tuhan, masyarakat harus
lebih berhati-hati; bukan lebih tunduk kepada ajaran kultus tetapi berani untuk
meninggalkannya sebelum terlewat.





