8 Jun 2026

Petua Tembus ke Cukaria


Pengenalan

Portal Cukaria yang mengiktiraf dirinya sebagai “portal cerpen tersensasi negara” menyiarkan cerpen di laman Facebook pada setiap hari Isnin dan Khamis. Karya yang tersiar adalah pelbagai dan tidak terhad kepada tema, gaya, teknik, dan isu tertentu.

Apabila cerpen tersiar, penulis berhak menerima honorarium berbentuk enam buah buku terbitan Buku Fixi. Ia satu platform baik bagi penulis baharu dan lama, tua dan muda untuk berkarya secara lebih bebas tanpa terikat kepada syarat dan peraturan yang terlalu mengawal kreativiti.

Walaupun pengarah urusan Buku Fixi berubah mulai 1 Julai 2026, portal Cukaria masih diteruskan mengikut format lama.

 

Masalah dan Kekangan

Walaupun ramai orang berminat dan bercadang mahu menulis untuk Cukaria, muncul beberapa kekangan dan halangan. Misalnya, tiada panduan tentang format manuskrip cerpen, serta petua memikat hati editor atau penilai. Penulis baharu pula mungkin mahukan panduan untuk tembus ke Cukaria.

 

Petua Penulisan Cukaria

Berbekalkan pengalaman menulis secara profesional sejak tahun 1992 serta pengalaman mengendalikan bengkel penulisan di seluruh negara sejak tahun 1994, saya [Uthaya Sankar SB] bercadang mengendalikan satu sesi secara dalam talian (online) khusus bagi sesiapa yang berminat menulis cerpen bagi Cukaria.

Sesi ini bukan anjuran Cukaria tetapi dikendalikan dengan “restu dan izin” pengasas portal berkenaan. Pihak Cukaria tidak bertanggungjawab atas kandungan sesi serta apa-apa panduan yang dikongsi dalam sesi ini. Penyertaan dalam sesi ini bukan “jaminan” bahawa cerpen peserta pasti tersiar di Cukaria, tetapi peluang untuk “lulus bagi siaran” amat tinggi kerana saya akan memberi bimbingan khusus untuk membolehkan karya tembus ke Cukaria – cara “pikat” editor/penilai berdasarkan penelitian saya terhadap cerpen-cerpen di Cukaria sejak Julai 2024.

 

Tarikh

27 Jun 2026 (Sabtu)

 

Masa

9:00 – 10:00 malam [Waktu Kavyan]

 

Pelantar

Google Meet (sesi secara dalam talian)

 

Peserta

Dihadkan kepada sekitar sepuluh (10) orang yang benar-benar berminat menghasilkan cerpen untuk dihantar ke Cukaria. Terbuka kepada penulis baharu dan lama, tua dan muda, berpengalaman dan kurang pengalaman.

 

Bayaran

Setiap peserta dikenakan bayaran RM10 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja) sebagai bayaran ikat libat (commitment fee). Bayaran ini tidak dipulangkan jika peserta menarik diri, atau tidak muncul semasa sesi berlangsung.

 

Keunikan dan Kandungan Bengkel

Sesi Petua Tembus ke Cukaria diadakan khusus bagi individu yang mahu menghasilkan cerpen yang sesuai dan berpotensi tinggi untuk tembus bagi siaran di Cukaria. Cerpen saya pernah tersiar di Cukaria (“Sal Buka Tudung”, “Remaja Dalam Almari”) dan boleh dibaca dalam buku Cerpen (2024).

Manakala cerpen “Demi Sebuah Keampunan”, “Katak dari Bawah Tempurung”, “Malam Pertama”, dan “Mendayung di Lautan Berdarah” yang juga tersiar di Cukaria dimasukkan dalam buku Siapa Bunuh Veer Singh? (2026). Cerpen beberapa individu yang menyertai bengkel kendalian saya juga sudah tersiar di Cukaria sejak Julai 2024.

Peserta sesi diberi peluang untuk bertanya tentang apa yang wajar dilakukan bagi menghasilkan cerpen bermutu yang mampu menarik minat editor atau penilai Cukaria. Misalnya, aspek cangkuk naratif, teknik memulakan cerpen, unsur saspens dan twist, pemerengganan, plot, dialog, dan pengakhiran cerpen yang berkesan.

Peserta juga boleh bertanya tentang aspek teknikal seperti format menaip manuskrip, biodata, maklumat penulis, tatabahasa, dan etika mengirim cerpen melalui e-mel kepada Cukaria.

Bahagian pertama sesi (sekitar 30 minit) digunakan untuk menjawab pertanyaan yang dikemukakan lebih awal oleh para peserta berdaftar. Bahagian kedua sesi (masa yang berbaki) akan saya gunakan untuk memberi petua dan panduan tambahan yang difikirkan wajar diketahui para peserta.

 

Rangka Sesi

9:00 malam – Peserta mendaftar masuk. Pautan (link) akan diberi lebih awal.

9:01 malam – Menjawab pertanyaan peserta. Semua soalan perlu dikirim melalui WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) selewat-lewatnya pada 26 Jun 2026 (10:00 malam).

9:45 malam (anggaran) – Petua tambahan untuk menjadi penulis yang berjaya dan berwibawa.

10:00 malam – Sesi Google Meet tamat secara automatik.

(Nota: Jika ada banyak pertanyaan daripada peserta, akan ditambah slot baharu sehingga 11:00 malam.)

 

Pendaftaran Peserta

Sesiapa yang berminat menyertai sesi Petua Tembus ke Cukaria perlu menghubungi saya menerusi WhatsApp 011-11411952 untuk mendaftar. Nombor akaun bank akan diberi untuk membuat bayaran ikat libat (RM10 sahaja). Kemudian, setiap peserta perlu mengemukakan minimum satu (maksimum empat) pertanyaan/soalan untuk dijawab/dibincang semasa sesi. Pertanyaan perlu dikirim menerusi WhatsApp selewat-lewatnya pada 26 Jun 2026 (10:00 malam). Sebarang mesej selepas itu tidak akan dilayan.

7 Jun 2026

Dilema Mualaf: Proses Keluar Islam di Malaysia (Bahagian 2)

(Bersambung daripada Bahagian 1) Bagi sesetengah individu, proses ini sangat meletihkan secara emosi. Mereka bukan sahaja perlu mempertahankan keputusan peribadi, malah terpaksa membuktikan bahawa mereka benar-benar mahu keluar islam. Rintihan ini juga disuarakan kepada saya oleh sejumlah mualaf yang mahu meninggalkan islam.

Kesukaran Mendapat Kelulusan

Secara realiti, kelulusan untuk keluar Islam sangat sukar diperoleh. “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” juga secara jelas menyebut bahawa mahkamah syariah “seldom grant such requests”. Dalam bahasa mudah: permohonan jarang diluluskan.

Keadaan ini lebih rumit bagi individu yang termasuk kategori ini:

* orang melayu yang menurut Perlembagaan ditakrifkan sebagai muslim.

* individu yang lahir sebagai muslim.

* mereka yang mempunyai pasangan muslim.

* mereka yang mempunyai anak berstatus muslim.

Walaupun seseorang mualaf berasal daripada agama lain, proses kembali kepada agama asal tetap tidak mudah. Mahkamah syariah lazimnya akan melihat status semasa individu itu sebagai seorang muslim, walaupun individu itu pada realiti tidak sedikit pun mengamalkan ajaran islam.

Dalam beberapa kes yang dilaporkan media dan kajian akademik, individu terbabit mengambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkan keputusan mahkamah. Ada juga yang gagal sepenuhnya.

Sekadar contoh, menurut statistik Jabatan Perdana Menteri, mahkamah syariah di seluruh negara menerima sejumlah 863 kes permohonan menukar status agama islam dari tahun 2000 hingga 2010. Daripada jumlah itu, hanya 135 permohonan diluluskan. Di negeri Selangor sendiri, sejumlah 99 permohonan diterima sepanjang tempoh itu dan tidak ada satu pun diluluskan.

Hukuman dan Risiko Mengikut Negeri

Malaysia tidak mempunyai satu undang-undang tunggal berkaitan murtad. Sebaliknya, undang-undang berkaitan islam berada di bawah bidang kuasa negeri. Maka, hukuman bagi kesalahan murtad juga berbeza mengikut negeri.

* Di Perak, Melaka, Sabah, dan Pahang, murtad merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum denda atau penjara.

* Di Pahang, hukuman boleh termasuk sebatan.

* Di Kelantan dan Terengganu, undang-undang negeri memperuntukkan hukuman mati bagi murtad, walaupun hukuman itu belum pernah dilaksanakan dan kesahihannya dari sudut Perlembagaan masih belum diuji.

Maklumat di atas amat penting bagi individu yang sedang mempertimbangkan tindakan keluar islam. Ramai orang menyangka Malaysia mempunyai satu sistem undang-undang syariah yang seragam. Hakikatnya tidak begitu.

Pertukaran Status Agama di Jabatan Pendaftaran Negara

Sekiranya mahkamah syariah meluluskan permohonan keluar islam, individu terbabit perlu membawa perintah mahkamah itu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Di sinilah proses pentadbiran berlaku:

* perubahan status agama dalam rekod rasmi.

* pengemaskinian maklumat pada kad pengenalan.

* perubahan rekod berkaitan perkahwinan dan keluarga.

Namun, “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” merekodkan hakikat bahawa “masih melaporkan kesukaran bagi orang islam yang cuba untuk menukar agama dan bagi orang Bukan Islam yang tersilap mendaftar sebagai orang islam untuk menukar maklumat agama pada kad pengenalan mereka.”

Maknanya, walaupun seseorang sudah memperoleh keputusan mahkamah, proses birokrasi masih boleh menjadi panjang dan rumit. Dan menyeksakan.

Kesan Terhadap Perkahwinan dan Anak

Bagi mualaf yang sudah berkahwin dengan pasangan muslim, isu keluar islam sering menjadi lebih kompleks. Di Malaysia, perkahwinan antara muslim dan Bukan Muslim tidak diiktiraf. Hakikat ini memang sudah diketahui umum. Ramai individu Bukan Islam masuk islam semata-mata untuk berkahwin dengan pasangan islam.

Maka, jika seorang mualaf mahu keluar islam sedangkan pasangannya kekal muslim, pelbagai implikasi boleh timbul. Misalnya:

* status perkahwinan boleh dipersoalkan.

* hak penjagaan anak boleh menjadi isu.

* status agama anak mungkin dipertikaikan.

* pembahagian harta dan pusaka boleh menjadi rumit.

Dalam beberapa kes, mahkamah syariah dan mahkamah sivil mempunyai tafsiran berbeza dalam menangani isu-isu di atas. Keadaan ini menyebabkan individu terbabit tersepit antara dua sistem undang-undang.

Bantuan Guaman dan Sokongan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)

Seseorang yang mahu meninggalkan islam biasanya memerlukan bantuan peguam yang mahir dalam undang-undang syariah dan perlembagaan. Selain itu, terdapat juga NGO hak asasi dan kumpulan sokongan yang boleh membantu individu terbabit memahami hak mereka serta proses undang-undang berkaitan proses pertukaran agama. Namun, bantuan seperti ini sering dilakukan secara berhati-hati dan secara senyap-senyap kerana isu murtad sangat sensitif di Malaysia.

Menurut “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023”, ada sebuah organisasi Kristian menyediakan laman sesawang khas untuk membantu individu yang mahu menukar status agama pada kad pengenalan. Perkara ini menunjukkan bahawa keperluan terhadap maklumat dan bantuan memang wujud. Sesungguhnya, individu yang tersepit dalam isu keluar islam memerlukan panduan dan maklumat tepat serta menyeluruh.

Antara Hak Individu dan Kuasa Negara

Perdebatan mengenai murtad di Malaysia sebenarnya memperlihatkan pertembungan antara dua gagasan besar. Di satu sisi ialah hak individu untuk memilih agama. Di sisi lain ialah pendirian negara bahawa islam perlu dipelihara sebagai institusi awam.

Makalah oleh Helwa dan Jasri yang dinyatakan tadi menegaskan bahawa dalam perspektif undang-undang Islam di Malaysia, kebebasan beragama tidak dianggap mutlak. Mereka menyatakan bahawa seseorang yang memilih islam “dilarang keras untuk keluar dari agama islam demi untuk menjaga integriti agama islam itu sendiri.”

Namun, dalam kerangka hak asasi moden, ramai berhujah bahawa kebebasan beragama turut meliputi hak untuk menukar agama atau tidak menganut sebarang agama. Sesungguhnya, perdebatan ini belum selesai. Dan mungkin tidak akan selesai dalam masa terdekat. Tujuan catatan ini pula sekadar memberi panduan kepada individu mualaf yang “bertaubat” dan mahu keluar islam.

Berat Mata Memandang …

Bagi seorang mualaf di Malaysia yang mahu meninggalkan islam dan kembali kepada agama asal, prosesnya bukan sekadar mengisi borang dan menukar status pada kad pengenalan.

Sebaliknya, melibatkan mahkamah syariah, sesi kaunseling agama, kemungkinan pemulihan akidah, tekanan keluarga, stigma masyarakat, serta pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah.

Secara teori, terdapat ruang undang-undang untuk memohon keluar islam. Namun secara praktikal, laluan itu sangat sukar dan jarang berjaya. Umpama jalan berliku dan berduri tanpa penghujung. Di luar konteks, mengingatkan saya kepada cerpen “Jalan Sehala Menuju Svarga”.

Politikus Malaysia sering bercakap tentang keharmonian antara agama. Tetapi bagi individu yang berada di sempadan antara iman dan kebebasan peribadi, keharmonian itu kadangkala terasa seperti pintu yang hanya boleh dibuka dari sebelah luar.

Dan di situlah ironi terbesar di negara sekular ini. Seseorang boleh memilih untuk masuk islam dengan satu lafaz (yang mungkin tidak difahami maksud), tetapi belum tentu dibenarkan keluar walaupun dengan seribu alasan kukuh (termasuk tidak lagi beriman kepada allah).

Bacaan seterusnya: Dilema melayu-islam yang Mahu Keluar

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

6 Jun 2026

Bijak Meniti Sekatan Undang-undang

Perbincangan tentang potensi sesebuah karya sastera diharamkan oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Malaysia perlu dilakukan secara berhati-hati, berasaskan kerangka undang-undang, sensitiviti sosial, dan sejarah penerbitan tempatan.

Dalam konteks ini, kedua-dua buku Sebelas Amanat Swamiji (2025) dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026) boleh dihujahkan sebagai mempunyai ciri-ciri tertentu yang berpotensi menarik perhatian pihak berkuasa, sekali gus membuka kemungkinan tindakan sekatan—walaupun tidak semestinya membawa kepada pengharaman secara automatik.

Salah satu faktor utama ialah pengolahan isu agama secara satira dan alegori. Dalam Sebelas Amanat Swamiji, watak-watak seperti Guruji, Swamiji, dan Prashamsaneeji mewakili golongan pemimpin spiritual yang menyimpang, memanipulasi pengikut, dan membentuk kultus.

Walaupun karya ini tidak merujuk secara langsung atau secara khusus kepada mana-mana agama tertentu, sifat satira yang tajam boleh ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai menyentuh sensitiviti keagamaan.

Dalam konteks Malaysia, di mana isu agama sering dianggap sensitif dan tertakluk kepada pelbagai peruntukan undang-undang serta garis panduan penerbitan, sebarang karya yang dilihat berpotensi “mengelirukan” atau “menghina” kepercayaan tertentu boleh menjadi sasaran penelitian KDN.

Oleh itu, walaupun kritikan dalam buku-buku ini bersifat umum dan universal, tafsiran pembaca yang pelbagai boleh mencetuskan kontroversi.

Selain itu, unsur kultus dan penyimpangan moral dalam kalangan pemimpin agama yang digambarkan secara terbuka—termasuk eksploitasi kuasa dan tingkah laku tidak bermoral—boleh dianggap sebagai bahan yang “mengganggu ketenteraman awam” sekiranya ditafsir sebagai serangan terhadap institusi agama.

Dalam beberapa kes terdahulu di Malaysia, karya yang mengandungi unsur yang dilihat mencabar norma agama atau moral telah menerima bantahan masyarakat, seterusnya diharamkan. Dalam hal ini, cerpen seperti “Lingkaran Shaitaan” yang memaparkan penyalahgunaan kuasa oleh tokoh spiritual  berpotensi menimbulkan reaksi sedemikian, walaupun niat pengarang mungkin hanya mengkritik fenomena umum, tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana tokoh atau agama.

Dari sudut politik pula, buku Siapa Bunuh Veer Singh? mengandungi unsur kritikan terhadap rasuah, salah guna kuasa, dan kelemahan institusi. Cerpen “Demi Sebuah Keampunan” misalnya memaparkan pengakuan watak Karuppar tentang pelbagai jenayah seperti “rasuah, pecah amanah, pengubahan wang haram”.

Walaupun pengkisahan ini juga tidak merujuk kepada individu sebenar, ia mencerminkan realiti yang sensitif dalam wacana awam Malaysia. Karya yang menyentuh isu politik secara kritikal kadangkala dianggap berpotensi menjejaskan persepsi terhadap institusi negara, terutamanya jika dibaca sebagai sindiran langsung terhadap keadaan semasa. Dalam kerangka tertentu, situasi ini boleh menjadi alasan untuk penelitian atau sekatan.

Tambahan pula, penggunaan teknik faksyen yang berasaskan bahan arkib mahkamah meningkatkan tahap realisme karya, namun pada masa sama boleh menimbulkan persoalan tentang kesesuaian pendedahan semula kes-kes sensitif dalam bentuk kreatif.

Jika pembaca mengaitkan olahan kreatif itu dengan peristiwa sebenar, ia mungkin mencetuskan kontroversi, terutamanya jika terdapat persepsi bahawa karya tersebut “menghidupkan semula” isu lama atau memberi tafsiran alternatif terhadap kes yang telah diputuskan di mahkamah.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian ialah gaya penyampaian yang terbuka terhadap pelbagai tafsiran. Kekuatan karya-karya ini terletak pada simbolisme dan lapisan makna yang membolehkan pembaca membuat interpretasi sendiri.

Namun begitu, dalam konteks kawal selia yang dilakukan oleh pihak berkuasa, keterbukaan seperti ini juga boleh menjadi kelemahan kerana tafsiran yang ekstrem atau tidak tepat oleh sebahagian pembaca boleh mencetuskan bantahan.

Dalam situasi di mana tekanan masyarakat atau kumpulan tertentu meningkat, pihak berkuasa mungkin mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan ketegangan.

Walau bagaimanapun, penting ditegaskan bahawa potensi untuk diharamkan tidak semestinya bermaksud karya tersebut melanggar undang-undang atau tidak wajar diterbitkan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa karya berkenaan berani menyentuh isu-isu kritikal yang berada di sempadan sensitiviti masyarakat.

Dalam banyak tradisi sastera, karya yang berani mencabar norma sering menjadi pemangkin kepada perbincangan intelektual dan kematangan sosial.

Berdasarkan penelitian di atas, kedua-dua buku ini boleh dihujahkan mempunyai potensi untuk menarik perhatian KDN kerana gabungan beberapa faktor: satira terhadap fenomena keagamaan, kritikan terhadap moral dan kuasa, penggambaran realistik isu politik, serta keterbukaan kepada pelbagai tafsiran.

Namun, pada masa sama, ciri-ciri inilah yang sebenarnya menjadikan karya tersebut signifikan sebuah khazanah sastera kebangsaan. Perdebatan tentang kemungkinan atau keperluan pengharaman sebenarnya membuka ruang lebih luas untuk orang ramai menilai hubungan antara kebebasan berkarya, tanggungjawab sosial, dan kerangka undang-undang dalam masyarakat Malaysia.

Bacaan seterusnya: Hanya Untuk Pembaca Matang dan Dewasa!

5 Jun 2026

Cerpen Siladass: Usaha Terjemahan yang Membanggakan



Judul: Cerpen Siladass

Penulis: K. Siladass

Penterjemah: Monalisa Muniyandy

Bahasa: Bahasa Malaysia

Penerbit: KSD Research Centre

Tebal: 350 halaman (termasuk prelim)

Tarikh Terbit: Mei 2026

Harga Pasaran: RM50.00

Harga Diskaun: (hubungi Uthaya)


Saya tidak mengenali pengarang K. Siladass secara peribadi. Saya juga tidak pernah berpeluang membaca karya Tamil beliau. Maka, apabila manuskrip kumpulan cerpen terjemahan ini sampai ke tangan saya pada April 2026, saya berpeluang membaca dan menilainya secara penuh objektif sebelum terbit dalam bentuk buku.

Sebagai pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) yang menggalakkan penulis kaum India menghasilkan karya sastera kebangsaan, saya turut menyokong usaha karya bahasa Tamil yang mendokumentasi sejarah, budaya, perjuangan, pemikiran, dan jati diri kaum India di negara ini diterjemah kepada Bahasa Malaysia supaya dapat dinikmati khalayak pelbagai kaum.

Pada 1999, saya bersama mendiang M. Balachandran mengusahakan antologi Seruling di Persimpangan dengan menterjemah sejumlah cerpen oleh penulis Tamil tempatan. Sejak itu, pelbagai pihak menyahut seruan Kavyan, lalu melakukan terjemahan karya Tamil kepada bahasa kebangsaan.

Dalam hal ini, kemunculan kumpulan Cerpen Siladass yang memuatkan 22 buah cerpen terjemahan memang amat dialu-alukan. Saya percaya, Monalisa Muniyandy selaku penterjemah telah berlaku adil dalam memastikan para pembaca dapat menikmati suara asli Siladass, walaupun karya disajikan semula dalam bahasa yang berbeza.

Secara umum, saya mendapati pengarang berjaya mengadun realiti hidup kaum India dan hal-hal perundangan dalam karya. Konflik moral dan kemanusiaan, serta nilai budaya dan kekeluargaan juga diselitkan secara kemas.

Langkah ini penting kerana cerpen bukan sekadar bercerita tetapi turut mendokumentasi sejarah, budaya, dan pemikiran masyarakat. Apabila cerpen-cerpen ini diterjemah, khalayak pelbagai kaum berpeluang memahami apa-apa yang didokumentasi itu.



Cerpen “Setulus Masu” merupakan terjemahan daripada cerpen “Masu Kaanaatha Masu” yang tersiar secara bersiri di akhbar Makkal Osai. Apa yang menarik, pembaca berpeluang membacanya dalam tujuh bahagian juga dalam buku ini yang terbit pada Mei 2026.

Saya tertarik kerana Siladass berjaya menggambarkan realiti politik kaum India dalam cerpen bersiri ini. Apa yang lebih menarik, hal-hal yang dinyatakan masih relevan bagi masyarakat India di Malaysia pada hari ini.

Sepertimana dinyatakan, saya tidak mengenali Siladass sewaktu manuskrip cerpen terjemahan ini sampai ke tangan saya. Hanya selepas membaca dan memperkatakan buku ini, saya berpeluang bertemu beliau untuk mengenali latar hidupnya.

Siladass dilahirkan di Negeri Sembilan pada Jun 1938 dan sejak 1987 mengendalikan firma guaman di Kluang, Johor. Apa yang menarik, beliau belajar di sekolah Malayalam semasa kecil sebelum bertukar ke sekolah Inggeris apabila sekolah bahasa ibunda itu ditutup.

Pengarang dan peguam ini belajar menguasai bahasa Tamil atas minat dan kesungguhan sendiri sehingga akhirnya mampu menjadi penulis Tamil terkenal di negara ini. Siladass juga menggunakan kepakaran dalam bidang perundangan untuk menulis rencana dan buku bahasa Inggeris dan Tamil berkaitan undang-undang demi manfaat orang ramai.

Simbolisme yang tajam dan mendalam serta diselitkan pula falsafah kehidupan telah saya perhatikan dalam cerpen “Sepuluh Sen”. Manakala “Si Kutu Rayau” menyelitkan kritikan terhadap sistem pendidikan negara.

Unsur pertentangan antara idelisme dan realiti kehidupan dipaparkan menerusi “Harapan Seindah Kenyataan” manakala “Sebatang Kara” memberi ruang untuk pembaca merenung sejarah dan politik kaum India.

Perlu dinyatakan bahawa Siladass terlibat aktif dalam bidang politik sejak usia muda—aktif dalam Parti Buruh dan kemudian menyertai DAP pada 1967. Maka, segala asam garam itu turut menjadi sumber idea untuk digarap dalam bentuk cereka dalam kumpulan cerpen ini.



Turut disajikan dalam buku Cerpen Siladass ialah sikap bergantung pada nasib berbanding berusaha (“Tuah Badan”), pertentangan ideologi dan personaliti (“Dua Kutub”), falsafah kehidupan (“Erti Kebahagiaan”), konflik moral dan dilema etika (“Dilema Sigamani”), serta transformasi diri dan mobiliti sosial (“Menuju Kehidupan Baru”).

Turut menarik perhatian ialah kisah berkaitan jurang antara generasi (“Konflik Usia”), paduan unsur mitologi dan spiritual (“Himpunan Tridewa”), aspek emosi, nostalgia, dan identiti budaya (“Memori Deepavali”), kenangan dan nilai sentimental (“Jam Tangan Cyma”), serta kebijaksanaan membuat keputusan (“Pilihan Agung”).

Siladass juga menyajikan kepelbagaian dalam karya apabila menyelitkan unsur empati dalam hal perundangan (“Keprihatinan dalam Keadilan”), perlunya menyedari kesilapan (“Keinsafan”), erti sebenar kejayaan dalam hidup (“Istiadat Kejayaan”), kritikan sosiopolitik (“Sampah Masyarakat”), mempersoalkan keputusan (“Kemasygulan Keadilan”), konflik dalam hubungan (“Belahan Kasih”), serta moral dan nilai kekeluargaan (“Anugerah daripada Bapa”).

Ternyata peguam dan penulis ini berjaya menyajikan juadah yang pelbagai dalam sebuah koleksi yang padat. Bagi orang ramai yang sudah pernah membaca cerpen-cerpen ini dalam versi asal bahasa Tamil berjudul Siladass Sirukathaigal (2019), kini peluang untuk menikmatinya semula dalam versi terjemahan Bahasa Malaysia.

Sebagaimana dikatakan Siladass, “Budaya membacalah yang menzahirkan perkembangan intelek, pandangan yang luas serta tahap pemikiran kritis sesebuah masyarakat.”

Bagi orang ramai yang kurang menguasai bahasa Tamil, buku Cerpen Siladass muncul untuk memberi peluang sama rata kepada masyarakat pelbagai kaum memahami aspek budaya, pemikiran, konflik, harapan, dan cabaran hidup kaum India di Malaysia.

Usaha terjemahan seperti ini perlu diperbanyakkan supaya khazanah sastera Tamil (cerpen, novel, dan puisi) oleh para penulis Malaysia dapat disalurkan secara lebih meluas ke seluruh negara.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan prakata bagi buku Cerpen Siladass dan disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 30 Mei 2026 dengan tajuk “Terjemahan yang merapatkan budaya, pemikiran”.]

4 Jun 2026

Analisis: Penyembah (Berhala) Batu Hitam

Petikan awal cerpen “Penyembah (Berhala) Batu Hitam” menampilkan cangkuk naratif yang amat kuat kerana ia segera menggabungkan unsur misteri, simbolisme agama, psikologi kultus, dan konflik generasi dalam beberapa perenggan pertama.

Pembaca terus dihumban ke dalam suasana yang tegang dan penuh persoalan tanpa diberi peluang untuk “berehat” secara emosional. Teknik ini amat berkesan dalam cerpen moden kerana ia bukan sekadar memancing rasa ingin tahu, malah segera mengaktifkan imaginasi pembaca sejak ayat pertama.

Pembukaan cerpen dengan gambaran “langit petang berwarna tembaga cair” segera mencipta atmosfera yang berat, mistik, dan hampir apokaliptik (hancur). Unsur alam digunakan bukan sekadar sebagai latar tetapi sebagai simbol kepada keadaan spiritual manusia yang sedang “melebur”.

Teknik ini mengingatkan pembaca kepada gaya fiksyen sastera yang menggunakan suasana untuk membina emosi sebelum konflik sebenar diperlihatkan. Pembaca belum tahu apa yang berlaku tetapi sudah merasakan bahawa sesuatu yang ganjil dan besar sedang menanti.

Cangkuk naratif menjadi lebih kuat apabila pengarang memperkenalkan kehilangan “kepala Maharishi” iaitu berhala batu granit hitam yang dianggap suci oleh pengikut kultus itu. Kehilangan objek suci secara tiba-tiba merupakan pencetus konflik yang sangat efektif.

Pembaca terus tertanya-tanya: Siapa yang mencurinya? Mengapa hanya kepala itu hilang? Adakah ia benar-benar dicuri atau “ghaib” secara supernatural? Persoalan-persoalan ini mendorong pembaca untuk terus membaca.

Kekuatan narrative hook juga terletak pada cara pengarang membina mitologi di sekeliling batu hitam tersebut. Batu itu dikatakan anugerah Dewa Indra, mungkin meteor dari langit, mungkin mengandungi “radiasi halus”, dan mungkin mempunyai kuasa penyembuhan.

Pelbagai kemungkinan ini tidak disahkan atau dinafikan sepenuhnya. Teknik ambiguiti seperti ini sangat penting dalam naratif misteri kerana pembaca sentiasa berada di antara logik dan kepercayaan mistik. Pengarang sengaja membiarkan ruang tafsiran terbuka seluas-luasnya.

Selain itu, cerpen ini memperlihatkan manipulasi psikologi dalam kelompok kultus. Watak Guruji mengatakan batu itu “hanya batu biasa” tetapi pada masa sama menggalakkan pengikut terus menyembahnya kerana Maharishi Prashamsaneeji pernah menciumnya dengan penuh bhakti.

Di sinilah cerpen mula bergerak daripada sekadar kisah misteri kepada kritik sosial dan keagamaan. Pengarang memperlihatkan bagaimana kesetiaan membuta tuli boleh menjadikan sesuatu yang biasa dianggap luar biasa. Unsur ini memberi lapisan intelektual kepada cangkuk naratif kerana pembaca bukan sahaja ingin mengetahui “apa yang berlaku” tetapi juga ingin memahami “mengapa manusia boleh percaya semua ini”.

Watak Kavin Raj pula menjadi pemangkin konflik moden versus tradisi. Dia mewakili generasi muda yang mula mempersoalkan autoriti dan dogma. Soalannya tentang CCTV yang tiba-tiba rosak sangat penting kerana ia membawa logik rasional ke dalam ruang yang dikuasai mitos.

Pertembungan antara Kavin dan pengikut kultus lain menjanjikan konflik yang lebih besar pada bahagian seterusnya. Pembaca dapat merasakan bahawa cerpen ini mungkin berkembang menjadi pertarungan ideologi antara skeptisisme dan fanatisme.

Berdasarkan petikan awal, terdapat beberapa kemungkinan arah perkembangan cerita. Pertama, batu hitam itu mungkin sebenarnya dicuri oleh orang dalam sendiri—mungkin Mukundan atau Guruji—bagi mencipta “mukjizat” palsu untuk mengukuhkan pengaruh kultus. Kehilangan berhala boleh dimanipulasi sebagai tanda spiritual supaya pengikut menjadi lebih taat.

Kedua, Kavin mungkin mula menyiasat kehilangan berhala itu dan menemui pelbagai rahsia gelap kultus berkenaan, termasuk unsur gangsterisme, eksploitasi kewangan, atau penipuan psikologi terhadap pengikut. Ini selari dengan bayangan awal bahawa Mukundan ialah ketua gangster dan sekutu Guruji.

Ketiga, pengarang mungkin membawa cerita ke arah satira agama yang lebih tajam. Batu hitam itu mungkin sebenarnya tidak mempunyai kuasa apa-apa, namun manusia terus mencipta mitos kerana mereka memerlukan sesuatu untuk disembah. Dalam konteks ini, kehilangan batu itu menjadi simbol keruntuhan kepercayaan.

Akhir sekali, ada kemungkinan cerpen berkembang ke arah unsur supernatural sebenar. CCTV yang “memilih untuk buta” memberi petunjuk bahawa mungkin ada sesuatu di luar logik manusia. Pengarang sengaja mengekalkan keseimbangan antara realisme dan mistik supaya pembaca terus terperangkap dalam ketidakpastian.

Apa-apa pun, cangkuk naratif dalam petikan awal cerpen ini sangat berkesan kerana menggabungkan misteri, falsafah, simbolisme agama, dan konflik psikologi secara serentak. Pembaca bukan sahaja mahu mengetahui nasib batu hitam itu, malah juga mahu memahami sifat manusia yang sentiasa mencari sesuatu untuk dipercayai, walaupun kepercayaan itu mungkin dibina atas ilusi semata-mata.

3 Jun 2026

Di Pentas Drama Kanak-kanak

Cerita ini tidak bermula di sini. Ia bermula jauh lebih awal—atau mungkin lebih lewat—bergantung kepada bagaimana seseorang mentafsir masa. Seperti seorang pakar psikologi forensik yang memerhati garis masa trauma, cuba memisahkan memori primer daripada rekaan minda yang terpecah.

Lampu pentas di Pusat Komuniti Prashamsaneeji menyala seperti saksi bisu yang sudah terlalu lama menyimpan rahsia. Cahaya kuning bergetar halus, seolah-olah ragu sama ada mahu menyingkap atau terus melindungi.

Di barisan kerusi plastik yang berderet seperti barisan saksi di mahkamah rendah, penonton mula memenuhi ruang dengan desiran bisik-bisik yang menyerupai hujah pembelaan: tidak pernah lengkap tetapi cukup untuk menangguhkan kebenaran.

Di belakang tirai, para pelakon mengulang skrip dengan suara perlahan, seolah-olah setiap dialog adalah affidavit yang harus ditandatangani oleh jiwa mereka sendiri sebelum dipersembahkan kepada khalayak.

Dalam satu adegan yang belum berlaku, seorang kanak-kanak (atau bayangan seorang kanak-kanak) berdiri di tengah pentas, memegang belon merah yang tidak pernah dilepaskan.

Belon itu, menurut skrip, melambangkan “hak yang belum dituntut”. Namun, penonton yang peka akan melihatnya sebagai bukti Eksibit A iaitu sesuatu yang ringan tetapi sarat dengan makna yang tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana terlalu halus untuk difailkan.

Pengarah produksi, seorang lelaki berwajah tenang dan mata sentiasa menilai seperti hakim keletihan, sering mengulang satu arahan: “Jangan tunjukkan. Biarkan mereka faham.”

Maka, para pelakon bergerak dalam koreografi yang disengajakan kabur. Watak lelaki dewasa memakai topeng badut, ketawa terlalu kuat, seolah-olah cuba menenggelamkan suara dalaman yang berbisik tentang mens rea; niat yang tidak pernah diakui tetapi sentiasa hadir.

Di sisi pentas, seorang wanita memegang buku undang-undang tebal. Dia membacakan istilah seperti “liabiliti jenayah”, “perlindungan saksi”, dan “ketidakbolehterimaan bukti sekunder”. Tetapi setiap kali dia cuba menyebut sesuatu secara lebih spesifik, muzik latar akan meningkat, lalu menenggelamkan kata-katanya dalam alunan tabla dan biola yang sengaja sumbang.

Dalam satu adegan yang kelihatan seperti komedi slapstik, sekumpulan pelakon menari dengan kasut terlalu besar, terjatuh dan bangun semula, mengundang tawa penonton.

Namun, jika diperhatikan dengan teliti, setiap jatuh itu berlaku apabila satu watak kecil cuba melangkah ke hadapan. Seolah-olah lantai pentas itu sendiri (yang sepatutnya neutral seperti mahkamah) sudah dimanipulasi tangan-tangan yang tidak kelihatan.

“Ini hanya lakonan,” kata seorang pelakon sambil tersenyum, tetapi suaranya bergetar seperti saksi yang tahu bahawa pemeriksaan balas bakal membongkar sesuatu yang tidak pernah ingin didedahkan.

Penceritaan bergerak ke belakang—atau mungkin ke sisi—lalu memperlihatkan sesi latihan pertama. Seorang jurulatih lakonan memperkenalkan konsep “represi” dan “disosiasi”. Dia menjelaskan bagaimana minda manusia kadangkala mencipta pentas sendiri untuk menyembunyikan kebenaran.

“Kamu bukan sekadar berlakon,” katanya, “kamu sedang membina mekanisme pertahanan.”

Seorang pelakon muda mengangguk tetapi matanya kosong serupa fail kes yang telah ditutup tanpa penyelesaian.

Dalam catatan skrip pula terdapat nota kaki: Simbolisme diperlukan. Elakkan representasi literal. Lindungi sensitiviti tetapi jangan hapuskan realiti.

Nota itu ditulis dengan tulisan tangan yang tergesa-gesa, seolah-olah penulisnya sendiri takut untuk mengakui apa yang cuba disampaikan.

Kembali ke pentas utama, adegan berubah menjadi seperti perbicaraan, tetapi tanpa hakim. Kerusi kosong di tengah pentas melambangkan autoriti yang tidak hadir—atau sengaja tidak mahu hadir.

Watak-watak bergilir-gilir memberi “testimoni” tetapi bahasa mereka penuh metafora: Taman yang diinjak, bunga yang dipetik sebelum waktunya, cermin yang retak tetapi masih memantulkan wajah yang tersenyum. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Rawan: The Untold Story

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

31 May 2026

Dilema Mualaf: Proses Keluar Islam di Malaysia (Bahagian 1)

Di Malaysia, isu murtad bukan sekadar persoalan peribadi antara individu dengan Tuhan. Isu ini terikat pada rangka undang-undang, birokrasi agama, identiti kaum, tekanan sosial, dan kuasa politik.

Seseorang yang memeluk islam—sama ada secara sukarela kerana perkahwinan, pilihan peribadi, atau faktor keluarga—mungkin suatu hari mahu meninggalkan agama itu dan kembali kepada agama asal.

Namun, di Malaysia, jalan keluar itu bukan mudah. Malah, dalam banyak keadaan, ia menjadi lorong sempit yang dipenuhi duri, pagar undang-undang, dan pengawasan sosial.

Menurut “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” oleh kerajaan Amerika Syarikat, “Orang islam yang ingin menukar agama kepada agama lain mesti terlebih dahulu mendapatkan kelulusan mahkamah syariah untuk mengisytiharkan mereka sebagai murtad.”

Laporan sama turut menyatakan bahawa mahkamah syariah “jarang membenarkan permintaan sedemikian”, khususnya melibatkan orang melayu dan individu yang pernah memeluk islam. Maklumat ini menunjukkan bahawa secara praktikal, hak meninggalkan islam di Malaysia bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan.

Dalam esei bertajuk “Kedudukan Murtad dan Penyebaran Agama Bukan Islam Menurut Perspektif Undang-undang di Malaysia: Satu Analisa Isu dan Cabaran” oleh Helwa Mohammad Zainal dan Jasri Jamal dalam Jurnal Undang-undang & Masyarakat (2013), dinyatakan bahawa Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada setiap orang untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing.

Namun begitu, Helwa dan Jasri turut menegaskan bahawa hak itu tidak dianggap mutlak dalam konteks orang islam di Malaysia kerana tertakluk kepada tafsiran mahkamah syariah dan undang-undang negeri.

Maka, seseorang mualaf yang mahu meninggalkan islam perlu memahami bahawa proses itu melibatkan dua lapisan besar. Pertama, lapisan undang-undang dan birokrasi. Kedua, lapisan sosial dan psikologi. Topik berkaitan proses terbabit akan diperincikan dalam catatan ini sebagai tanggungjawab sosial saya membimbing umat Bukan Islam.

Status “Islam” Pada Kad Pengenalan

Di Malaysia, agama seseorang bukan sekadar pegangan peribadi. Agama turut direkodkan dalam sistem negara. Bagi orang islam, status itu tercatat pada kad pengenalan, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), rekod mahkamah syariah, dan pelbagai urusan rasmi.

Sebagaimana dinyatakan juga dalam “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” dan diketahui umum, “kad pengenalan kebangsaan (MyKad) menyatakan pegangan agama, dan kerajaan menggunakannya untuk menentukan warganegara mana yang tertakluk pada undang-undang syariah.” Maknanya, apabila seseorang telah didaftarkan sebagai muslim, maka individu itu secara automatik tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah.

Dalam konteks seorang mualaf, perkara paling penting ialah tarikh dan bentuk pengislaman. Ada individu memeluk islam semata-mata untuk berkahwin. Ada pula yang didaftarkan sebagai muslim ketika masih kecil. Ada juga yang mendapati nama mereka tiba-tiba tercatat sebagai islam dalam rekod rasmi. Semua keadaan ini memberi kesan kepada proses keluar islam.

Langkah Pertama: Memfailkan Permohonan di Mahkamah Syariah

Secara umum, seseorang yang mahu meninggalkan islam perlu memfailkan permohonan di mahkamah syariah negeri tempat dia bermastautin. Di sinilah proses sebenar bermula. Maklumat ini saya peroleh hasil perbincangan dengan beberapa peguam syarie yang berpengalaman menangani kes melibatkan individu dilahirkan islam dan individu mualaf yang mahu meninggalkan islam.

Perlu ditegaskan bahawa setiap negeri mempunyai enakmen dan prosedur berbeza. Namun, lazimnya individu yang mahu mengisytiharkan dirinya tidak lagi beragama islam perlu:

1. Memfailkan permohonan pengisytiharan keluar islam atau permohonan menukar status agama.

2. Mengemukakan dokumen pengenalan diri.

3. Mengemukakan sijil memeluk islam, jika ada.

4. Memberikan alasan mengapa mahu meninggalkan islam.

5. Menghadiri sesi kaunseling atau pemulihan akidah.

Dalam banyak kes, mahkamah syariah tidak terus membenarkan seseorang keluar islam. Sebaliknya, mahkamah biasanya akan mengarahkan individu itu menjalani sesi kaunseling agama.

[Baca juga — Dilema Mualaf: Terlajar Perahu Boleh Diundur dan Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran]

Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023” ada menyebut bahawa individu yang dianggap menyimpang daripada tafsiran rasmi islam boleh dihantar ke pusat “pemulihan” yang “mengajar dan menguatkuasakan amalan islam yang diluluskan kerajaan.” Tempoh program boleh mencecah enam bulan atau lebih.

Perkataan “pemulihan” di sini sangat menarik. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa keinginan meninggalkan islam dianggap sebagai penyakit yang perlu dirawat dan dipulihkan, bukannya pilihan individu yang perlu dihormati.

Sesi Kaunseling dan Pemulihan Akidah

Di beberapa negeri, sesi kaunseling agama menjadi syarat wajib. Pegawai agama akan cuba “memulihkan akidah” individu terbabit. Sejak dahulu, saya berpeluang berbual dengan beberapa mualaf yang terpaksa mengikuti sesi wajib itu. Secara praktikal, sesi ini mungkin melibatkan:

* soal jawab mengenai sebab mahu meninggalkan islam.

* penerangan mengenai hukum murtad menurut islam.

* usaha memujuk individu kembali mengamalkan islam.

* sesi bersama pegawai agama atau kaunselor.

* pemantauan berkala.

Ada kes di mana individu diarahkan tinggal di pusat pemulihan akidah buat sementara waktu. Menurut “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023”, kerajaan Malaysia “melarang individu meninggalkan pusat sedemikian sehingga mereka melengkapkan program pemulihan.” Ini menunjukkan bahawa dalam beberapa keadaan, individu tidak bebas meninggalkan pusat tersebut sebelum program selesai.

Bagi sesetengah individu, proses ini sangat meletihkan secara emosi. Mereka bukan sahaja perlu mempertahankan keputusan peribadi, malah terpaksa membuktikan bahawa mereka benar-benar mahu keluar islam. Rintihan ini juga disuarakan kepada saya oleh sejumlah mualaf yang mahu meninggalkan islam. … (bersambung pada 7 Jun 2026)

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]