2 Sept 2015

Sinopsis Nari! Nari!

Buku Nari! Nari! (2015) memuatkan 9 cerita rakyat India yang diceritakan semula menggunakan Bahasa Malaysia bagi bacaan rakyat Malaysia.

Judul: Nari! Nari!
Kategori: Kumpulan Cerita Rakyat India
Bahasa: Bahasa Malaysia
Diceritakan semula oleh: Uthaya Sankar SB
Ilustrasi oleh: Teh Hun Yi (Exact Publisher)
Tebal: 200 halaman (tidak termasuk prelim)
Harga pasaran: RM20.00 senaskhah (tidak termasuk PosLaju)
Catakan 2023: [klik di sini]

Lihat juga -- Ikan Patin dan Beruang Besar (2017)

Berikut sedikit maklumat mengenai cerita-cerita yang terkandung di dalam buku ini:

1 - Kisah Binatang Mendapat Warna

Khabarnya, pasa zaman dahulu, kesemua binatang dan burung di hutan berwarna putih. Lalu, bagaimanakah mereka mendapat warna masing-masing? Dipaparkan juga kisah seekor gagak dan seekor merak yang bersahabat baik. Namun, timbul masalah berikutan rasa cemburu.

2 - Serigala Biru

Serigala bernama “Nari” yang dihalau dari hutan kembali dengan penampilan dan identiti baharu. Selepas menghalau harimau dan singa, Nari mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Hutan. Namun, mampukah Nari menipu penghuni hutan secara berterusan?

3 - Thandira Nari

Ditakdirkan Nari bertemu semula dengan singa yang pernah dihalaunya dari hutan. Hasil manipulasi dan kepintaran minda, Nari berjanji mahu membantu singa itu membunuh tiga ekor lembu di pinggir hutan.

4 - Muslihat untuk Makan

Pelbagai muslihat dibuat oleh Nari untuk mengisi perut yang lapar. Kemudian, dia diberikan kepercayaan oleh penduduk sebuah kampung untuk membunuh seekor harimau yang membunuh kambing biri-biri milik penduduk.

5 - Mentimun dan Tairu

Kelaparan membuatkan Nari mula belajar makan mentimun. Akan tetapi, tentulah pemilik kebun tidak akan berdiam diri melihat tanamannya dicuri. Nari pula mengenakan kembali pemilik kebun mentimun itu dengan cara yang melucukan.

6 - Nari Menjadi Baik

Apakah Nari akan terus kekal sebagai seekor binatang licik yang pandai menipu dan memperdaya? Pengembaraan dengan niat mahu membantu seorang gadis benar-benar mengubah kehidupan Nari. Pelbagai kisah penuh mendebarkan berlaku sehingga membawa kepada perubahan yang berlaku.

7 - Si Bodoh dan Lembu Kuil

Peribahasa “bodoh macam lembu” membawa makna baharu dalam cerita ini yang menampilkan seorang kanak-kanak bernama Sulekha (“yang bertuah”) dan seekor lembu jantan bernama Koovil Maadu. Transformasi yang berlaku dalam hidup Sulekha pasti membawa mesej positif kepada pembaca.

8 - Hati Monyet

Persahabatan erat terjalin antara dua binatang dari dua alam yang berbeza. Namun, sikap cemburu pihak ketiga menggugat persahabatan itu sehingga akhirnya membawa kepada pengakhiran yang menyentuh perasaan.

9 - Kiripulle, Si Anak Cerpelai

Haiwan peliharaan dikatakan sentiasa menyayangi dan menganggap keluarga pemilik sebagai keluarganya sendiri. Akan tetapi, bagaimana jika pemilik mula meminggirkan haiwan peliharaan itu atas alasan mahu melindungi ahli keluarga?

Kesemua cerita rakyat yang termuat dalam buku ini tentulah bukan cerita yang baharu; sebaliknya cerita yang disampaikan dalam kalangan masyarakat India dari generasi ke generasi.

Kini, cerita-cerita itu disampaikan semula dengan sedikit pengubahsuaian supaya sesuai bagi bacaan rakyat Malaysia. Buku Nari! Nari! terbit pada Oktober 2015. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut dan borang pembelian.

Senarai nama penyumbang dipaparkan DI SINI untuk tujuan dokumentasi. Baca juga: Sedutan Komen Rakan-rakan. Baca juga: Bahagian Pengenalan

Anda juga mungki berminat membeli Ikan Patin dan Beruang Besar (2017).