10 Feb 2015

Ini Bukan Dakwah Hindu

Menjelang perayaan Thaipusam (3 Februari 2015), ramai yang mungkin teringat kembali akan penghinaan yang dilakukan oleh tokoh ultra kiasu, Ridhuan Tee Abdullah sekitar dua tahun dahulu.

Menerusi tulisan bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013), dia antara lain menggelarkan penganut Hindu yang berhimpun di Batu Caves sebagai “lautan manusia satu warna”.

Hampir setiap tulisan lelaki itu mengutuk, menghina dan menzalimi orang Bukan Melayu dan Bukan Islam; serta terang-terangan berciri anti-dakwah iaitu memberikan imej negatif mengenai Islam.

Tidak lupa juga tokoh kegemaran presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang diletakkan sebagai calon kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi kalah teruk akibat ditolak majoriti pengundi.

Klip video menunjukkan lelaki rasis dan fanatik itu, Zulkifli Noordin, mempersenda penganut dan agama Hindu tersebar luas di ruang siber pada penghujung Mac 2013. Dia satu lagi contoh tokoh anti-dakwah.

Selepas “menyusun sepuluh jari saya mohon maaf sekiranya saya mengguris hati mereka (penganut Hindu)” (Free Malaysia Today, 3 April 2013), keluar pula satu lagi klip video bertarikh 6 Mac 2013 di mana dia menuturkan ayat seperti “k** mana bawa kitab Hindu dia” dan “k** ni bawa kitab Hindu sumpah” (The Malaysian Insider, 5 April 2013).

Kita sering melaung-laungkan kehebatan dan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dihuni masyarakat pelbagai kaum, budaya, agama dan kepercayaan serta saling memahami dan hormat-menghormati.

Hakikat yang nyata adalah bahawa realiti “saling mengenali dan memahami” yang boleh membawa kepada “saling menerima perbezaan dan saling hormat-menghormati” belum wujud. Slogan “1 Malaysia” hanya wahana politik untuk Najib dan Rosmah Mansor terus berkuasa.

Dalam keadaan “kondusif” seperti inilah wujud pihak etnosentrik dan pelampau seperti Perkasa, Isma, Ridhuan Tee dan “ustaz” tertentu yang terus berusaha meracuni fikiran orang Melayu-Islam dengan “ajaran sesat” mengenai kaum Bukan Melayu dan agama Bukan Islam.

Mujurlah tidak ramai yang terpengaruh dengan hasutan serta cubaan memecah-belah masyarakat pelbagai kaum dan agama yang dilakukan pihak tertentu seolah-olah atas motif politik dan habuan kewangan.

Jangan tanya kenapa tidak makan lembu

Dalam pada itu, di pihak orang Hindu, mereka sering hanya mampu mengeluh dan merungut apabila berdepan dengan segala dakyah yang dilakukan oleh orang luar yang berniat jahat.

“Sebagai minoriti kurang 8 peratus, tidak ada apa-apa yang boleh orang India dan Hindu lakukan,” kata seorang rakan menerusi mesej peribadi di Facebook sambil mengeluh kaumnya dan agamanya sering dipersenda.

Ajaran Hindu (Sanatana Dharma) selaku agama tauhid pertama dan tertua memang agak kompleks yang sering disalah tafsir oleh pengikut ajaran itu sendiri; apatah lagi orang luar yang kurang tahu.

Maka, baru-baru ini, saya cuba berbincang dengan beberapa kenalan yang merupakan mengamal ajaran Hindu. Topik kami berlegar sekitar perkara-perkara yang diharap dapat difahami dan dihormati oleh rakan-rakan Bukan Hindu.

Tentulah perbincangan kami – serta makalah ini – bukan bertujuan untuk berdakwah bagi menyebarkan ajaran Hindu. Tidak sama sekali. Sebaliknya, sekadar mahu memberi peluang kepada penganut Hindu meluahkan isi hati dalam kehidupan masyarakat majmuk, dikelilingi rakan-rakan pelbagai agama.

Apa yang diharapkan oleh Shammine adalah supaya rakan-rakan daripada agama lain memahami serta menghormati pendirian orang Hindu dalam soal tidak makan daging lembu.

“Bagi orang Hindu yang mengamalkan vegetarian, mereka tidak makan ikan serta apa-apa jenis daging, apatah lagi daging lembu,” kata pensyarah ini yang berasal dari Taiping, Perak dan kini mengajar di sebuah institusi pengajian di Selangor.

Memang menjadi kebiasaan di mana orang mempersoalkan mengapa orang Hindu tidak makan daging lembu tetapi boleh minum susu lembu. Perkara ini sebenarnya pernah saya jelaskan menerusi sebuah makalah dalam majalah Dewan Budaya (Mei 2004) dan didokumentasikan di blog saya.

Shammine turut menceritakan bagaimana di kebanyakan tempat kerja, sekiranya ada kursus atau majlis, sayur-sayuran dimasak bercampur ikan bilis, ayam atau lembu.

“Sama ada orang Hindu vegetarian atau tidak, kami tidak boleh makan sayur-sayuran yang dimasak seperti itu. Selalunya rakan-rakan Bukan Hindu akan mencadangkan supaya daging lembu dikeluarkan dan sayur sahaja dimakan,” beliau menceritakan dengan nada kecewa dan marah.

Orang Hindu juga ada waktu sembahyang?

Pengalaman yang hampir sama dikongsikan oleh Nyanaambigai Rajanthran yang tinggal di Tanjung Malim, Perak. Beliau sudah terlalu kerap menerima “cadangan” supaya daging lembu dikeluarkan sebelum sesuatu hidangan dimakan.

Pensyarah itu yang lahir di Kuantan, Pahang berharap rakan-rakan Bukan Hindu akan memahami budaya orang Hindu serta menghormatinya. Tentulah tidak logik untuk mana-mana rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka tidak tahu orang Hindu tidak makan daging lembu.

Shakti Nagesvari yang berasal dari Teluk Intan, Perak turut berkongsi pengalaman dan pandangan dalam topik yang dibincangkan. Perkara pertama yang beliau mahu orang Bukan Hindu fahami dan hormati adalah hakikat orang Hindu tidak menyembah batu; sebaliknya menyembah Tuhan yang digambarkan menerusi berhala (bukan patung).

“Ada beberapa perkara mengenai Sanatana Dharma (Hinduisme) yang mungkin tidak dapat difahami orang Bukan Hindu, tetapi perlulah dihormati dan bukannya dijadikan bahan cemuhan atau lawak,” kata Shakti yang kini sedang menyiapkan tesis dalam bidang kesusasteraan India dan Nigeria di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau mengaku amat menyampah apabila berulang kali ditanya soalan-soalan yang menyakitkan hati serta menunjukkan sikap tidak sensitif dalam kalangan orang ramai terhadap amalan dan budaya orang Hindu.

Misalnya, orang bertanya, jika Krishna adalah Tuhan, siapa pula Muruhan dan dewa berkepala gajah (Ganesha). Atau bertanya mengapa berhala dewi (wanita) di kuil selalu berpakaian seksi.

“Ada pula orang yang terkejut apabila diberitahu orang Hindu berpuasa. Mereka sangka orang Hindu hanya mengamalkan vegetarian. Malah, ada pula yang hairan orang Hindu ada waktu sembahyang yang ditetapkan,” katanya yang ternyata pelik mengapa perkara-perkara asas seperti ini pun tidak diambil tahu oleh orang ramai yang hidup dalam kalangan masyarakat majmuk.

Pertanyaan lain yang sering ditanya ada kaitan dengan upacara keagamaan Hindu. Shakti mengakui bahawa soalan yang ditanya adalah wajar: Kenapa perayaan orang Hindu selalu bising dan berakhir dengan keganasan? Kenapa orang India selalu dilaporkan bergaduh semasa perayaan Thaipusam?

Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa banyak perkara mengenai ajaran Hinduisme sudah bercampur-aduk dengan budaya dan adat kaum India. Kebanyakan perkara yang menimbulkan masalah dan sering mengungkitkan kemarahan masyarakat (Hindu dan Bukan Hindu) bukanlah sebenarnya ajaran Hindu.

Sebaliknya, kebanyakan perkara yang “bermasalah” itu adalah budaya India yang diserap masuk dalam ajaran Hindu. Akibatnya, kesucian ajaran Hinduisme sebagai agama tauhid pertama dan tertua sering tercemar, dicemuh dan ditertawakan orang ramai.

Realiti musuh di dalam selimut

“Pengajaran dan pemahaman Hinduisme dalam kalangan penganut sendiri semakin merosot. Penganut Hindu di Malaysia khasnya masih belum faham dengan jelas konsep Sanatana Dharma. Maka, orang Hindu perlu membetulkan pemahaman dan penghayatan ajaran Hindu sebelum mengharapkan orang lain menghormati dan memahami kita,” Shakti menegaskan.

Mengulas perkara sama, Manikavasagar Maruthaiah dari Puchong bersetuju bahawa maklumat yang diketahui orang Bukan Hindu mengenai agama ini sering kali merupakan “fakta tidak betul” yang disampaikan pula oleh orang Hindu yang tidak mengenali agamanya sendiri.

Tidak dapat tidak, saya amat bersetuju dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh rakan-rakan ini. Cara paling mudah untuk menguji kebenaran kata-kata mereka adalah dengan bertanya kepada mana-mana remaja atau belia beragama Hindu: “Berapa Tuhan orang Hindu?

Percayalah bahawa anda akan mendengar jawapan yang pelbagai – kecuali jawapan yang betul dan benar mengikut ajaran Sanatana Dharma. Masing-masing mungkin akan menggaru-garu kepala dan tersengih-sengih kerana tidak mampu memberikan jawapan yang betul dan benar.

Kalaupun mereka memberikan jawapan, berwaspadalah kerana jawapan itu kemungkinan besar mitos yang pernah mereka dengar daripada datuk-nenek, sami-sami di kuil, golongan guruji palsu atau daripada orang yang mengaku pakar tetapi sebenranya jahil tentang Hinduisme.

“Agak malang kerana apa yang masyarakat Bukan Hindu tahu tentang Hinduisme adalah berdasarkan apa-apa yang mereka nampak dan dengar daripada golongan yang tidak mengamalkan ajaran Hindu yang sebenar.

“Kelompok masyarakat India yang mengamalkan ajaran Hindu yang sudah terpesong tentulah tidak mampu menjawab dan memberikan penjelasan kepada pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan rakan-rakan Bukan Hindu,” kata Manikavasagar yang lahir di Taiping.

Hujah yang dikemukakan oleh pengurus teknologi maklumat (IT) itu sangat penting diberikan perhatian oleh pertubuhan agama seperti Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan para penganut Hindu yang tidak rela melihat agama mereka dicemarkan oleh “orang dalam” sendiri.

Maka, dalam pada orang Hindu mengharapkan orang Bukan Hindu memahami dan menghormati amalan keagamaan mereka, perlu juga difikirkan cara untuk berdakwah kepada remaja, belia dan orang dewasa yang hanya Hindu pada nama.

Orang Hindu perlu memperkasakan diri dengan pengetahuan dan amalan sebenar Hinduisme (Sanatana Dharma) supaya mampu menjadi contoh dalam masyarakat. Kemudian, secara automatik orang ramai akan mula memahami dan menghormati orang Hindu dan ajaran Hindu. [Baca juga – PK Mencari Tuhan di Malaysia]

[Makalah ini ditulis pada 23 Januari 2015 berdasarkan komen rakan-rakan dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 26 Januari 2015. BACA MAKALAH BERKAITAN HINDUISME DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]